fb fb fb fb fb

Tarif AS: Negara perlu tingkat ketahanan ekonomi

Anwar Ibrahim/ Foto BERNAMA

KUALA PERLIS, 27 April- Negara perlu bersedia daripada pelbagai aspek, khususnya ketahanan ekonomi susulan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakyat terutama golongan belia pula perlu memainkan peranan, dengan meningkatkan kemahiran dan penguasaan dalam pelbagai bidang seperti sains dan teknologi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Kecerdasan Buatan (AI).

"Inilah masa semua parti, semua rakyat fokus ke arah pertumbuhan negara, angkat martabat negara ini.

"Malaysia ini negara hebat, mampu menjadi negara contoh di antara negara terbaik di Asia dengan syarat kita bersatu dan bekerja kuat untuk mengangkat martabat ekonomi kita.

"Jadi, Insya-Allah kita bina apa yang disebut ‘domestic economic resilience’, maknanya kekuatan dalaman harus ada, harus diubah," katanya pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 peringkat Negeri Perlis di sini.

Turut hadir Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Tambah Anwar, tindakan AS menangguhkan pelaksanaan tarif selama 90 hari ketika ini memberi kelegaan bagi membolehkan perbincangan lanjut mengenai perkara berkaitan memandangkan kekuatan Malaysia daripada sudut semikonduktor.

Ketika ini juga pertumbuhan ekonomi negara menggalakan dengan kedudukan inflasi terkawal.

Dalam pada itu, Anwar berkata jumlah penerima bantuan bagi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi Perlis mencatat penambahan ketara tahun ini dengan seramai 62,292 menerima manfaat berbanding tahun sebelumnya seramai 25,682.

"Saya sebut perkara ini supaya rakyat tahu kita berikhtiar lagi, bekerja lagi, dan dapat hasil yang lebih baik. Bekerja dengan cekap, baik penjawat awam, pekerja kilang, pesawah, nelayan supaya hasil itu memberikan pulangan kepada rakyat," katanya.

Menyentuh mengenai pelaksanaan projek Pelabuhan Sanglang dan projek-projek tambahan, Anwar berkata setakat ini kerja-kerja pelaksanaan dan pembinaan berjalan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Tambahnya, Pelabuhan Sanglang yang turut menjadi fokus utama, mengalami sedikit kelewatan susulan tempoh kajian yang mengambil masa lama namun masih mengikut jadual.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM