fb fb fb fb fb

Tarif air naik purata 22 sen semeter padu mulai 1 Februari- SPAN

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 17 Januari- Tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dikuatkuasakan bermula 1 Februari ini, membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui kenyataan menyebut pelarasan tarif air akan dilaksanakan bawah Mekanisme Penetapan Tarif (Tariff Setting Mechanism – TSM) untuk pengguna kategori domestik bagi memastikan industri perkhidmatan air negara lebih kukuh dan stabil.

"Pelarasan tarif air bagi kategori domestik tidak lagi boleh ditangguhkan supaya tidak menjejaskan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka masa panjang sekali gus memberi impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan air yang dinikmati oleh rakyat.

"Justeru, pelarasan tarif air yang mencerminkan kos bekalan air sangat penting bagi membolehkan operator air meningkatkan tahap perkhidmatan dalam membekalkan air yang berkualiti secara berterusan," katanya dalam kenyataan.

Menerusi kenyataan sama, SPAN berkata, melalui semakan tarif ini, operator air lebih bersedia untuk membuat pelaburan berterusan bagi membangunkan infrastruktur sistem bekalan air.

Ia membabitkan pembinaan atau menaik taraf loji rawatan air, membuat penggantian paip usang, melaksanakan penyenggaraan secara berkala dan menangani aduan dengan lebih cekap demi menjamin kelangsungan perkhidmatan bekalan air dan sekali gus memenuhi ekspektasi pengguna.

"Kenaikan ini masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar 2022.

"Bagaimanapun, bagi meminimumkan impak kenaikan ke atas bil air bulanan rakyat, operator bekalan air di negeri masing-masing disaran untuk meneruskan inisiatif sedia ada iaitu memberikan bantuan kepada pengguna domestik secara bersasar seperti pemberian rebat kepada golongan B40," menurut kenyataan itu.

ZEHRA BINTI ZAMBRI