fb fb fb fb fb

Tanjong Malim bakal jadi hab automotif global

KUALA LUMPUR, 11 Oktober- Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) bakal mengubah Tanjong Malim menjadi hab automotif global untuk kenderaan tenaga baharu (NEV).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata potensinya turut mencakupi pembangunan bakat, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembandaran.

Menerusi catatan di facebook, beliau berkata projek mega dengan nilai pelaburan berjumlah RM32 bilion itu dipelopori Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. (Geely) bersama DRB-HICOM Berhad.

"Sokongan Kerajaan Perpaduan serta kelancaran projek tersebut menjadi contoh kepada pelabur-pelabur terhadap pendekatan Malaysia dalam memudah cara pelaburan dengan cekap dan segera. Semoga projek ini berjaya seperti yang dirancang, insya-Allah", katanya.

Datuk Seri Anwar yang berkunjung ke Proton City di Tanjong Malim, Perak turut mempengerusikan mesyuarat berkaitan AHTV. Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.


(Foto facebook Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim)

"Usai mesyuarat saya menyaksikan pemeteraian Perjanjian Kolaborasi Utama antara DRB-HICOM dan Geely, sebagai komitmen kedua-dua pihak dalam menjayakan projek tersebut", katanya.

Beliau turut menyaksikan pemeteraian Dasar-Dasar Utama Perjanjian antara Altel dan Geespace Technology (syarikat pelaburan strategik Geely).

Menerusi perjanjian tersebut, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam pembangunan dan pelaksanaan sistem teknologi tinggi serta memangkin pelaksanaan penyelesaian inovatif bagi sektor-sektor seperti pelabuhan pintar.

Media Baharu