MASJID TANAH, 4 Oktober - Lebih ramai tenaga profesional tempatan diperlukan untuk mengisi jawatan penting dalam industri maritim.
Ketika ini, hampir 40 peratus kru kapal di negara ini terdiri daripada warga asing.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, persepsi dan penerimaan rendah dalam kalangan masyarakat mengenai sektor berkenaan perlu ditangkis.
“Memang kita menghadapi kekurangan tenaga manusia dalam sektor perkapalan khususnya kerana seperti yang saya kata tadi hampir 40% kru kita adalah warga asing jadi kita memerlukan ramai tenaga kerja dalam sektor perkapalan."
"Sektor perkapalan ini dalam satu kapal dia memerlukan pelbagai kepakaran termasuk 'engineer', 'technician' dan sebagainya,” tambahnya.
Penglibatan golongan wanita turut digalakkan dengan jaminan keselamatan mereka sepanjang berada di lautan sentiasa diutamakan.
Anthony turut menyeru sokongan penajaan daripada syarikat perkapalan untuk memberi ruang kepada kadet dari Akademik Laut Malaysia (ALAM) menjalani kursus dan latihan amali di atas kapal.
Langkah itu sekaligus membantu untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja profesional dalam sektor berkenaan.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Konvokesyen ALAM ke 124 tahun di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah.