fb fb fb fb fb

Tangkap ikan tanpa permit, 2 bot nelayan asing ditahan

Bot nelayan asing yang ditahan kerana melakukan aktiviti perikanan tanpa permit yang sah di perairan negara

KUCHING, 10 Mac- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Sarawak menahan dua buah bot nelayan asing kerana melakukan aktiviti perikanan tanpa permit yang sah di perairan negara.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh dalam kenyataan medianya berkata, penahanan bot pertama dibuat oleh Kapal Peronda Luar Pesisir, Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah ketika melakukan beberapa operasi di perairan Sarawak di kedudukan 113 batu nautika utara Tanjung Po pada Khamis.

Hasil pemeriksaan, terdapat tiga kru termasuk tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 40 hingga 44 tahun berada di atas bot berkenaan dengan kesemuanya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Dalam pada itu, KM Tun Fatimah turut menahan sebuah bot nelayan Indonesia kerana melakukan kesalahan yang sama di kedudukan 82 batu nautika utara Tanjung Po, awal pagi Jumaat lepas.

Hasil pemeriksaan mendapati, seramai empat kru termasuk tekong warga Indonesia tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, berumur 30 hingga 43 tahun berada di atas bot itu ketika penahanan dibuat.

Kedua-dua bot beserta hasil tangkapan bernilai lebih RM3 juta dan kru bot ditahan, seterusnya dibawa ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(A) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa permit di perairan Malaysia.

ROSLINA BINTI DIN