PUTRAJAYA, 12 Januari- Isu Rohingya di Malaysia perlu ditangani secara kolektif oleh semua kementerian dan agensi terlibat.
Menurut Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah, kerajaan sentiasa mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi berkaitan terhadap sebarang isu yang timbul melibatkan golongan itu.
Kementeriannya juga kini sedang menggerakkan usaha untuk memperkasakan aspek pendidikan golongan berkenaan yang kurang diberi pehatian.
"Ketika ini, Pusat Pembelajaran Alternatif yang dilaksanakan Organisasi Masyarakat Sivil perlu diteruskan, selain memperkasa sumber dana sedia ada,"
"Ini bermaksud dana yang diperoleh daripada sumber-sumber lain, bukan hanya dana daripada rakyat dan kerajaan," jelasnya dalam sidang media di Putrajaya.
Sehingga kini, Yayasan Qatar Foundation antara pihak luar yang menjadi penyumbang dana terbesar untuk aspek kebajikan dan pendidikan golongan Rohingya di negara ini.
Jelasnya, sekiranya aspek pendidikan itu tidak diberi tumpuan, maka ia boleh menimbulkan isu lain melibatkan golongan Rohingya pada masa hadapan, di negara ini.
Beliau berkata, akses kepada pendidikan adalah penting bagi mengelak berlaku masalah lain pada masa depan.
"Jika mereka tidak dibantu dari segi pendidikan, sukar untuk negara ketiga menerima mereka. Mereka (pelarian Rohingya) jadikan Malaysia sebagai tempat persinggahan tetapi negara ketiga ini juga mereka (negara ketiga) pilih (mereka yang berkelayakan)," katanya.