fb fb fb fb fb

Tanah runtuh: Laluan masuk Apartmen Puncak Arabella dibuka semula

Kerja pembersihan jalan selesai dilakukan awal pagi tadi/ Foto BERNAMA

KUANTAN, 29 November - Laluan keluar masuk ke Apartmen Puncak Arabella di Tanah Rata, Cameron Highlands yang terputus ekoran tanah runtuh semalam dibuka semula selepas kerja pembersihan jalan selesai dilakukan awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Superintenden Azri Ramli memaklumkan, penduduk yang terkandas juga telah selamat pulang ke rumah masing-masing.

Menurut beliau, kejadian tanah runtuh di lereng bukit berhampiran Blok C bangunan kediaman itu disebabkan oleh hujan lebat berterusan yang menjejaskan akses kepada 346 buah rumah dan menyebabkan 28 unit rumah berada dalam keadaan berisiko.

"Sebanyak 53 penduduk daripada 13 buah keluarga terjejas. Sebahagian besar berpindah sendiri ke rumah saudara, manakala 17 orang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Puncak Arabella," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan pantas pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya mengawal keadaan dengan baik.

"Jabatan Kerja Raya, Majlis Daerah Cameron Highlands dan SMR Selenggara (Pahang) Sdn Bhd telah menjalankan kerja-kerja pembersihan tanah runtuh. JBPM juga telah menggunakan jentera Fire Rescue Tender (FRT) untuk membersihkan laluan dengan menembak air atas jalan raya yang terkesan akibat tanah runtuh," katanya.

Pihak APM turut melaksanakan proses pemindahan penduduk serta membuka khemah di PPS, manakala pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat pengagihan kit barangan, toto dan selimut kepada penduduk yang ditempatkan di PPS.

MASNIZA AWANG KECHIK