fb fb fb fb fb

Tanah runtuh: Keperluan pindahkan penduduk di kaki bukit dikaji

Datuk Amar Douglas melawat PPS SJKC Chung Hua Batu Kawa

KUCHING, 30 Januari- Kerajaan akan mengkaji keperluan untuk memindahkan penduduk yang tinggal di kawasan kaki bukit.

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ia bagi mengurangkan risiko kejadian tanah runtuh yang memusnahkan kediaman dan meragut nyawa.

"Kita akan berbincang dengan Premier, untuk mengkaji bagi kawasan perumahan yang nampak terancam", katanya.

Ini susulan tragedi tanah runtuh yang mengorbankan lima nyawa di Kampung Lereng Bukit, Miri semalam.

Datuk Amar Douglas ditemui media selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) SJKC Chung Hua Batu Kawa pagi tadi.

Dalam pada itu, beliau akan mengadakan tinjauan ke Bintulu petang ini bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Bintulu antara daerah paling teruk terjejas dengan menyaksikan lebih 2,000 penduduk terjejas banjir dipindahkan.

Ia susulan taburan hujan yang tinggi dengan merekodkan lebih 400 milimeter semalam dan menenggelamkan hampir seluruh daerah itu.

Bagaimanapun, aset bantuan dari Sibu dan Miri telah dikerah ke Bintulu bagi menyokong operasi pemindahan penduduk terjejas banjir.

ROSLINA BINTI DIN