SERDANG, 21 Ogos- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melantik Tan Sri Peter Chin Fah Kui sebagai Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) yang baharu, di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, semalam.
UPM menerusi kenyataan memaklumkan Sultan Sharafuddin yang juga Tuanku Canselor Universiti UPM, turut berkenan melantik semula Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Prof. Emeritus Dato’ Dr Ir. Muhamad Zohadie Bardaie sebagai Pro Canselor.
Pelantikan tersebut adalah untuk tempoh selama tiga tahun berkuat kuasa 18 Oktober 2024 hingga 17 Oktober 2027.
Majlis Istiadat Pengurniaan Watikah Perlantikan Pro Canselor UPM berlangsung di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Selangor.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir, Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Prof. Dr Azlinda Azman dan Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.
Tan Sri Peter Chin telah menyandang pelbagai jawatan kanan dalam Kerajaan Malaysia dari tahun 1986 sehingga bersara pada Mei 2013.
Antara jawatan yang pernah disandang beliau adalah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dan Setiausaha Parlimen, Kementerian Kebajikan.