fb fb fb fb fb

Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022

(Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022/ISTANA NEGARA)

KUALA LUMPUR, 4 Oktober- Tokoh kewangan Islam, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar diumumkan sebagai penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan anugerah tersebut.

Anugerah diraja dwitahunan itu dianjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada mereka yang berwawasan, dengan pencapaian dan inovasi memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan kewangan Islam, ekonomi global juga kemajuan sosial masyarakat di seluruh dunia.

Pengerusi Juri, Tun Musa Hitam, berkata barisan juri telah melaksanakan proses pemilihan yang ketat dan teliti terhadap merit serta pencapaian setiap calon sebelum membuat keputusan muktamad.

"Anugerah ini merupakan anugerah utama global dan sebagai rakyat Malaysia saya lebih berbangga apabila penerima juga seorang rakyat Malaysia. Dalam senario semasa sektor ekonomi, perbankan dan kewangan, ini adalah masa yang sangat mencabar dan saya gembira dapat mengenali seseorang yang sangat arif tentang kewangan dan diperlukan oleh dunia untuk menyumbang kepada keperluan global," katanya.

(Yang di-Pertuan Agong berkenan sampaikan anugerah kepada Tan Sri Dr. Mohd Daud
Bakar penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022/ISTANA NEGARA)

Mohd Daud merupakan cendekiawan syariah terkemuka yang sumbangannya kepada pembangunan industri kewangan Islam global diiktiraf secara meluas.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Syariah BNM dan SC berperanan penting dalam membangunkan piawaian syariah pertama bagi emas yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI).

Beliau juga merupakan ahli lembaga syariah bagi institusi dan organisasi kewangan antarabangsa seperti Amundi Asset Management (Perancis), Bank of London and Middle East, Indeks Pasaran Islam Dow Jones (New York), Morgan Stanley (Dubai) dan Sedco Capital (Arab Saudi).

Selain penyertaan aktif pada peringkat global, beliau juga mantan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Turut berkenan berangkat ke Majlis Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022 , Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Antara yang hadir; Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Gabenor BNM Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Media Baharu