fb fb fb fb fb

Takrifan pemerkasaan bumiputera tidak hanya dilihat menerusi penguasaan ekuiti

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli

PUTRAJAYA, 2 Mac - Takrifan pemerkasaan bumiputera tidak hanya boleh dilihat menerusi penguasaan ekuiti semata-mata sebaliknya menerusi konsep 3P iaitu penyertaan, penguasaan dan pemilikan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata melihat kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB), ia berjaya mengeluarkan kumpulan bumiputera dari kelompok miskin tegar selain memperkasakan bidang pendidikan.

Beliau berkata, sasaran pemilikan 30 peratus bukan lagi metrik yang berkesan untuk mengukur kejayaan ekonomi Bumiputera.

"Soal pemilikan 30 peratus itu tertakluk kepada lensa mana yang kita ambil untuk memahami 30 peratus itu, jadi dia bergantung kepada definasi.

"Kedua, kerana trend pemilikan ekuiti, kaedah untuk memiliki ekuiti yang sekarang ini sebenarnya sangat berbeza berbanding tahun 1970-an dahulu, semasa mula-mula sasaran 30 peratus itu ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.

Tambah Rafizi, banyak syarikat GLC dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) yang bukan berstatus Bumiputera namun, pengurusan utamanya dikuasai profesional bumiputera.

Dalam pada itu, Rafizi berkata golongan pertengahan bumiputera digesa agar mengubah peranan mereka daripada sebagai penambah nilai kepada pencipta nilai bagi membantu meningkatkan ekonomi negara.

Beliau berkata, pemerkasaan dan pengupayaan golongan bumiputera hanya akan berjaya sekiranya mereka berjaya memiliki dan menguasai ekonomi.

Sehubungan itu, Rafizi mencadangkan usahawan bumiputera yang telah berjaya dalam perniagaan masing-masing untuk menjadi pemodal kepada syarikat pemula niaga milik bumiputera.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN