fb fb fb fb fb

Tahun Melawat Melaka 2024: Buka peluang pendidikan, pelaburan dan pekerjaan

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (tengah) menghadiri Majlis Pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024 di MATiC, Kuala Lumpur pada 15 Julai lalu

KUALA LUMPUR, 1 Disember - Kepelbagaian seni, budaya, warisan sejarah dan juga pembangunan antara tarikan yang bakal ditonjolkan kepada pelancong dari dalam dan luar negara bersempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata negeri yang dikenali dengan jolokan 'Bandaraya Bersejarah' itu bukan sahaja menawarkan banyak lokasi menarik untuk dikunjungi.

Malah, Kota Pelancongan Warisan (UNESCO) itu turut membuka laluan kepada aktiviti pelaburan, peluang pendidikan dan pekerjaan.

"Banyak syarikat pelaburan dijangka akan menawarkan kekosongan jawatan yang dijadualkan dalam rangka pengisian program 'Bulan Pelaburan' pada tahun hadapan.

"Ini termasuk peluang-peluang pendidikan yang mana kita ada banyak institusi pendidikan iaitu ada 23 institut pendidikan TVET, lima (5) universiti awam dan swasta," katanya kepada RTM.

Ab Rauf ditemui selepas mempromosikan TMM 2024 dan Karnival D' Bendang dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Wisma Berita, Angkasapuri pada Jumaat.

Katanya, kerajaan negeri akan berkolaborasi bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-40 rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) yang dijadual bersiaran secara langsung di lokasi tumpuan negeri berkenaan.

Pada program itu nanti, pengunjung bukan saja datang melancong, tetapi dapat mengisi peluang-peluang masa depan yang ada di Melaka dengan program kesenian dan budaya.

"Bukan sahaja Dondang Sayang, joget lambak...segala-galanya akan diadakan di Melaka dalam tempoh Tahun Melawat Melaka.

"Sekali pergi menimba, sekali ikan menembat, sekali tuan datang ke Melaka..., bertahun-tahun akan teringat," katanya diakhiri dengan pantun.

Kerajaan negeri mengumumkan pengisytiharan 20 Februari setiap tahun sebagai cuti umum di Melaka sempena pengisytiharan kemerdekaan Malaysia di bumi bersejarah itu.

Kerajaan Melaka mensasarkan kehadiran sekitar 18.7 juta pelancong dalam dan luar negara sempena TMM 2024.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN