fb fb fb fb fb

Tadbir urus berkesan,integriti jadi keutamaan Kerajaan MADANI

Foto BERNAMA

DAVOS, 22 Januari-Kepimpinan yang berkesan perlu berlandaskan kerendahan hati serta komitmen berterusan untuk menangani rasuah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara berkenaan menjadi keutamaan kerajaan Malaysia Madani menerusi tadbir urus yang baik bermula dengan pelaksanaan proses tender yang telus, perundangan serta kuasa yang mencukupi.

"Kami perlu kekal dengan cabaran rasuah yang dianggap sistemik. Proses tender perlu lebih terus serta badan suruhanjaya antirasuah yang berkesan dengan perundangan yang mencukupi.

"Saya rasa perkara ini perlu menjadi permulaan, dengan kerendahan hati kepimpinan. Sekiranya pemimpin itu leka dengan puji, ia cenderung lupa seterusnya meninggalkan lekuk dalam proses pembelajaran. Dengan sikap rendah hati perlu mengakui setiap dari kita ada batasannya", katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menjelaskan dasar ekonomi MADANI yang jelas serta situasi politik yang stabil telah menggalakkan pemain utama dalam industri kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor melabur di Malaysia.

Jelas beliau, pelbagai insentif disediakan demi menjayakan hasrat itu melibatkan pelabur utama dari Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China.

"Kami perlu merancang pelaksanaan AI nasional, pejabat AI, perundangan, perlindungan data, dan apa sahaja yang diperlukan untuk memastikan kami dilengkapi sepenuhnya dengan kaedah AI, mengubah sistem pendidikan, perkhidmatan kesihatan, teknologi blok rantai (blockchain)", katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri menyifatkan hubungan akrab Malaysia dengan negara ASEAN dilihat amat luar biasa menerusi pelbagai kerjasama yang diraih.

Beliau berkata; sikap saling mempercayai menjadi kunci utama kepada kejayaan blok itu.

Sebagai sebuah negara dagang, Malaysia memerlukan mekanisme yang inklusif bertujuan menarik pelaburan serta memudahkan perdagangan. 

Sekali gus, membuka peluang buat Malaysia untuk terus memacu pertumbuhan, bergerak seiring negara ASEAN lain.

"Ia bukan sekadar tanggapan, tetapi kolaborasi serta semangat antara pemimpin ASEAN amat unik dan kami ingin membuktikannya.

"Sementara Amerika Syarikat secara kumulatif, sudah tentu akan melabur ke Malaysia. Namun kini  semakin rapat dan melakukan pelaburan serta perdagangan dengan China.

"Ia agak rumit, Malaysia juga perlu bergandingan dengan Kesatuan Eropah (EU). Menerusi penyertaan dalam CPTPP bersama United Kingdom yang berjaya dimetrai minggu lalu.

"Ini merupakan landasan tepat untuk memperkukuh Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA)", katanya demikian pada sesi A Conversation with Anwar Ibrahim’  bersama Pengasas Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025,  Prof Klaus Schwab, di sini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD