fb fb fb fb fb

Tabung Kasih Johor-Palestin dilancar hari ini

Majlis Peluncuran Tabung Kasih Johor-Palestin yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tiga kiri)

ISKANDAR PUTERI, 3 Julai- Kerajaan Johor hari ini melancarkan Tabung Kasih Johor-Palestin untuk membantu rakyat negara berkenaan yang ditindas tentera zionis Israel.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kutipan itu akan digerakkan ke seluruh negeri selama dua bulan sehingga Ogos depan.

Pihak masjid dan surau juga telah diarahkan untuk membuat kutipan khas pada setiap hari Jumaat.

Mohd Fared berkata, setiap perbelanjaan berkaitan sumbangan itu akan diumumkan kepada rakyat bagi memastikan ketelusan dalam pengurusan dana kutipan.

"Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor (MMK) hari ini juga telah memutuskan semua kutipan hendaklah diumumkan. Semua perbelanjaan juga dikongsikan butirannya termasuk kos yang terlibat akan dimaklumkan kepada rakyat secara telus dengan peraturan kewangan ditetapkan.

(Ini kerana) kita tidak mahu (Tabung Kasih Johor-Palestin) disangka sebagai kutipan yang mengelirukan, " katanya.

Sementara itu, sebanyak RM500,000 disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), manakala RM2,061 lagi oleh UMNO Bahagian Parit Sulung untuk Tabung Kasih Johor-Palestin.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Tabung Kasih Johor-Palestin di Pejabat Menteri Besar Johor, Kota Iskandar, di sini yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

SITI AISHAH MD ISA