KUALA KEDAH, 30 Mac- Kedatangan Syawal membawa sinar baharu bagi seorang suri rumah di Kampung Tanjung Besar, Kuala Kedah apabila menerima sumbangan sebuah kerusi roda baharu daripada Bahagian UMNO Kuala Kedah.
Penerima, Nur Juliawati Tahir, 37 tahun, yang menghidap penyakit kencing manis sehingga menyebabkan kaki kirinya dipotong, sebelum ini bergantung kepada kerusi roda lama yang sudah uzur.
"Saya ucapkan terima kasihlah kepada Bahagian UMNO Kuala Kedah, terutamanya Datuk Mutalib, atas sumbangan kerusi roda ini. Selain itu, bantuan makanan dan kewangan yang diberikan juga amat dihargai. Yang paling penting, kerusi roda ini sangat membantu saya. Terima kasih banyak-banyak," katanya.
Pergerakan beliau kini lebih mudah dengan bantuan suami, Mohd Affendi Hanafiah, 38 tahun, serta tiga orang anak mereka.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abd Mutalib Harun berkata, pemberian itu bertujuan memastikan keselesaan serta keperluan penerima sentiasa terjaga.
Selain sumbangan kerusi roda, pihaknya turut akan membantu membaik pulih kediaman serta menyediakan kemudahan tandas baharu bagi keluarga berkenaan.
"Kita akan terus membantu keluarga-keluarga yang memerlukan sokongan. Bagi kita, tiada siapa yang harus ketinggalan dan kita akan berusaha sedaya mungkin untuk menyantuni mereka yang benar-benar memerlukan," katanya.
Datuk Mutalib turut menegaskan komitmen pihaknya dalam memastikan masyarakat di Parlimen Kuala Kedah mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya.