KUALA LUMPUR, 27 April- Persatuan Industri Semikonduktor Amerika Syarikat (SIA) menyatakan komitmen berterusan syarikat semikonduktor yang diwakilinya untuk terus melabur di Malaysia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Tengku Abdul Aziz berkata meskipun dunia berdepan cabaran geopolitik dan tekanan terhadap rantaian bekalan global, syarikat di bawah naungan SIA, kekal komited mengembangkan operasi di Malaysia.
Sepanjang lawatan kerja rasmi dua hari ke Washington, beliau mengadakan beberapa pertemuan strategik dengan pemimpin industri dan penggubal dasar Amerika Syarikat (AS), termasuk sesi makan malam bersama wakil SIA.
"Pertemuan itu memperkukuh misi Malaysia untuk muncul sebagai peserta global dalam industri semikonduktor dan teknologi tinggi.
"Usaha itu juga seiring dengan pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030)," katanya menerusi menerusi perkongsian di Facebook.
Tegas Tengku Zafrul, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan terus berusaha menjadikan Malaysia hab pelaburan yang mampan, progresif dan berpaksikan kerjasama ekonomi yang saling menguntungkan.
Beliau turut mengadakan pertemuan produktif bersama Majlis Perniagaan AS-ASEAN.
Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia amat menghargai hubungan kukuh yang terjalin sekian lama antara ASEAN dan AS.
Kerjasama ekonomi dan perdagangan antara ASEAN dan AS akan terus diperkukuh, demi kemakmuran bersama.