IPOH, 1 Disember- Kerajaan Perak memberikan syarat yang ketat dengan menjalankan tapisan keselamatan terhadap pengoperasian sesuatu projek kuari di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pengoperasiannya memerlukan Surat Kelulusan Skim Pengkuarian (SKSK) atau Surat Kelulusan Sijil Pengendalian Melombong (SKSPM) yang dikeluarkan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).
Jelasnya, bagi menilai semula aspek keselamatan dalam pengoperasian kuari, Jawatankuasa Penasihat Pengkuarian Negeri Perak di bawah Dasar Kuari Perak 2004 telah dibentuk.
" Ia dianggotai jabatan teknikal antaranya Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Jika semua jabatan setuju kawasan itu diusahakan kuari, maka baru boleh diluluskan. Namun sekiranya ada mana-mana jabatan teknikal yang tidak bersetuju contohnya JMG dan JKR melaporkan kemungkinan besar berlaku runtuhan besar, maka jawatankuasa tidak akan meluluskan kawasan tersebut diusahakan sebagai kawasan pengkuarian," katanya.
Saarani berkata demikian ketika menjawab soalan V Bavani (PH-Malim Nawar) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, hari ini.
Ujarnya, jawatankuasa itu bersidang dengan kekerapan empat kali setahun turut meneliti dan membincangkan aduan dan insiden berkaitan operasi pengkuarian dan perlombongan di negeri Perak seperti kemalangan runtuhan batu yang melibatkan kematian dan kecederaan pekerja kuari.
Bagi tahun 2022 sehingga 2023, JMG Perak merekodkan sembilan kejadian kemalangan di tapak kuari dengan melibatkan lima kematian dan dua kecederaan kepada pekerja.