ALOR SETAR, 18 Mei - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) optimis capai sasaran 37.50 peratus Kadar Kitar Semula di Malaysia menerusi pelbagai program kesedaran yang dilaksanakan.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman berkata, ia selaras dengan Dasar Kebersihan Negara (DKN) yang menekankan tiga kluster iaitu kesedaran terhadap kebersihan, kelestarian alam sekitar dan ekonomi kitaran.
Ahmad Husaini berkata, program kesedaran awam yang dilaksanakan bagi meningkatkan kadar kitar semula di Malaysia menunjukkan peningkatan iaitu 31.50 peratus pada tahun 2021 kepada 35 peratus pada 2023.
Beliau yakin angka tersebut akan terus meningkat kepada 40 peratus pada tahun depan.
"Diseru agar lebih ramai lagi badan bukan kerajaan (NGO) untuk tampil dan membantu pihak kerajaan dalam menjayakan program-program kesedaran terutama berkaitan 3R (agama, raja, kaum) dan budaya kebersihan dengan mengurangkan janaan plastik demi kelangsungan hidup generasi masa hadapan.
"Dengan adanya program sebegini diharapkan dapat memupuk masyarakat Malaysia yang mempunyai jati diri dan cintakan kebersihan supaya satu persekitaran yang bersih dan lestari dapat diwujudkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Drive Thru Fabrik Terpakai Secara Percuma, Drive Thru Trash to Cash dan Jom Jual Minyak Masak Terpakai Fiesta 3R Kedah di Perkarangan Stadium Darul Aman, di sini.
Program itu diadakan bersempena program Mai Singgah Alor Setar tahun 2024.
Sempena program tersebut, sebanyak 30.6 tan metrik fabrik terpakai berjaya dikumpul, sekali gus membantu mengurangkan aliran sisa ke tapak pelupusan.
Dalam majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn Bhd Zaki Abdul Aziz Daud berkata seramai 20,000 pengguna apliksi 'idamanXchange' direkodkan sejak ia diperkenalkan pada tahun 2022 lalu.
Aplikasi yang dibangunkan syarikat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, E-Idaman Sdn Bhd itu bukan sahaja digunakan penduduk Kedah dan Perlis, malah penduduk negeri lain seperti Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Sabah.
Katanya, aplikasi itu menawarkan ganjaran tunai selain mata yang dikumpul untuk aktiviti kitar semula dan boleh ditebus nilai di gerai Boost dan Touch n’Go.
"Jadi ini memudahcarakan sebenarnya. Apa yang kita nak sampaikan disini adalah cara. Apabila orang bawa contohnya minyak masak kita beli, kita berikan kepada orang itu sama ada tunai ataupun mata ganjaran.
"Jadi kita bekerjasama dengan e-tunai iaitu dengan Touch n Go dan Boost dan mereka boleh tebus secara terus. Kami berharap kami akan ada lebih banyak rakan kongsi untuk menjayakan program ini," kata Zaki.