
AYER KEROH, 6 Mac -Seramai 978 individu diberi notis kesalahan berkaitan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM), setakat 4 Mac lalu.
- 59 individu didakwa serentak berkaitan pelanggaran Perintah Khidmat Masyarakat.
- Kebanyakan kes melibatkan pembuangan puntung rokok; SWCorp menggesa masyarakat buang sampah di tempat ditetapkan.
- Baki yang belum didakwa akan diadakan sekali lagi serentak selepas Hari Raya.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed berkata, daripada jumlah itu, 59 individu telah didakwa secara serentak.
Katanya, kebanyakkan kes adalah melibatkan membuang puntung rokok.
“Insya-Allah, baki yang masih belum didakwa akan diadakan sekali lagi secara serentak selepas Hari Raya. Kami juga mengharapkan agar masyarakat lebih cakna terhadap kebersihan dan tidak membuang sampah kecil merata-rata. Buanglah sampah di tempat-tempat yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita pada Program Projek Ramadan Kareem Food Rescue dan Free Market Melaka 2026 di Bazar Ramadan MITC, di sini.
Projek Ramadan Kareem Food Rescue dan Free Market Melaka 2026 berlangsung bermula 23 Februari hingga 7 Mac di empat bazar Ramadan terpilih iaitu Bazar Ramadan Peringgit, MITC, Alor Gajah dan Jasin Bestari.