fb fb fb fb fb

Suruhanjaya Keselamatan Siber Malaysia bakal ditubuhkan, perkukuh keselamatan

PUTRAJAYA, 31 Januari- Suruhanjaya Keselamatan Siber Malaysia bakal ditubuhkan bagi memperkukuh keselamatan siber negara.

Ia melibatkan kerjasama dengan agensi berkaitan seperti CyberSecurity Malaysia (CSM) untuk menjayakan penubuhan suruhanjaya itu.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya sedang meneliti pelaksanaan badan berkenaan sebelum memorandum bersama jemaah menteri kabinet dilakukan.

"Tapi yang penting kita tak boleh tunggu sampai terbentuk suruhanjaya baru kerja-kerja menjamin keselamatan siber itu berjalan dengan baik.

Maka buat sementara waktu, saya akan berbincang dengan pihak kementerian dan CSM mengenai apa yang perlu dilakukan untuk selesaikan masalah berhubung keselamatan siber," katanya.

Beliau menjelaskannya selepas berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di sini.

(Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dan Digital)

Fahmi dalam pada itu berkata, beberapa pindaan melibatkan agensi bawah KKD seperti Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan dibawa pada persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula pada 13 Feb ini.

“Tiada guna kalau data ada tetapi tidak selamat, JPDP perlu diperkukuh dan CSM juga perlu dilonjakkan, perkara-perkara asas perlu diselesaikan segera,” katanya lagi.

Media Baharu