Sultan Selangor tidak berkenan ternak babi di Selangor

Sultan Selangor / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Februari– Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sultan Selangor tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.
  • Risiko pencemaran udara dan sungai dari najis serta sisa kumbahan mengancam sumber air bersih Lembah Klang.
  • Penternakan moden mahal dan tidak menjamin tiada pencemaran; tanah terhad dan nilai hartanah tinggi di negeri.
  • Cadangan beri lesen import daging babi untuk memenuhi keperluan bukan Islam dan optimakan penggunaan tanah negeri.

Baginda bertitah, penternakan babi boleh menyebabkan pencemaran udara, sekali gus mencemarkan sumber air sungai akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan babi.

“Sebagai contohnya cadangan penternakan babi di Bukit Tagar daerah Hulu Selangor yang merupakan kawasan pendudukan orang Melayu dan kawasan FELDA pastinya menerima bantahan daripada penduduk Melayu di kawasan tersebut dan persekitarannya.

“Di samping itu ianya boleh mengakibatkan pencemaran kepada kawasan tadahan air dan juga sungai yang membekalkan sumber air bersih kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” demikian menurut kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Sulit Baginda, Datuk Haji Mohamad Munir Bani hari ini.

Sultan Sharafuddin turut menegaskan meskipun pencemaran udara dan sungai boleh ditangani dengan kaedah penternakan moden, namun ia memerlukan perbelanjaan yang besar dan tidak mungkin dapat dibiayai oleh mana-mana pihak.

“Tambahan lagi, tiada jaminan bahawa penternakan moden tidak akan menyebabkan pencemaran air di kawasan tadahan air serta sungai yang menjadi punca air bersih kepada penduduk di Lembah Klang,” titah Baginda lagi.

Selain itu titah Sultan Sharafuddin, penternakan babi berskala besar atau kecil juga tidak sesuai dilaksanakan di Negeri Selangor berikutan sumber tanah yang terhad dan faktor nilai hartanah yang tinggi di negeri tersebut yang sewajarnya digunakan untuk tujuan lebih ekonomi dan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat.

“Justeru, Baginda menyarankan agar pihak kerajaan dapat memberi lesen untuk pengimportan daging babi bagi menampung permintaan dan keperluan orang bukan
Islam khususnya kaum Cina di Negeri Selangor sahaja.

“Dengan kaedah ini, ia bukan sahaja dapat menyelesaikan isu penternakan bagi yang sudah lama berlaku, pada masa sama Kerajaan Negeri boleh mengoptimumkan penggunaan tanah
Negeri Selangor bagi tujuan lain seperti pembangunan dan penempatan,” titah Baginda.

Sehubungan itu, Sultan Selangor menegaskan isu penternakan babi dapat dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan kepada semua pihak dan
menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat

“Semua pihak diseru untuk menghormati titah Baginda dan bersama-sama menjaga perpaduan dan keharmonian masyarakat di negeri ini,” tegas Baginda.