SHAH ALAM, 16 Mac- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam, pada Sabtu.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin pada pukul 6.30 petang dan disambut oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Pada majlis itu, Sultan Sharafuddin menyampaikan sumbangan Hari Raya berjumlah RM239,000 kepada 478 asnaf daerah Petaling.
Seramai 139 fakir, 212 miskin, dan 127 mualaf menerima sumbangan sebanyak RM500 setiap seorang. Kali ini, jumlah penerima dalam kalangan mualaf adalah yang paling ramai berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Baginda turut berkenan menerima zakat perniagaan daripada tujuh syarikat, iaitu Pintas Utama Sdn Bhd (RM3 juta), Rafulin Holdings Sdn Bhd (RM2.15 juta), Sime Darby Property Berhad (RM2 juta), KDEB Waste Management Sdn Bhd (RM1.17 juta), MAHSA Universiti (RM1.32 juta), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (RM1 juta), dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (RM1 juta).
Sultan Sharafuddin kemudian berbuka puasa serta menunaikan solat fardu Maghrib, Isyak, dan solat sunat Tarawih 20 rakaat bersama rakyat yang hadir.