fb fb fb fb fb

Sultan Selangor perkenan fatwa berkaitan GISBH menyeleweng

FOTO FB Royal Selangor Office

KUALA LUMPUR, 4 Oktober- Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berpuas hati dan meyakini bahawa pemimpin, ahli Global Ikhwan Service and Business Holdings, (GISBH) serta rangkaiannya masih mengamalkan Aurad Muhammadiah, zikir agung yang dibawa al-Arqam, yang diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam menurut Warta No. 54 pada 4 Februari 1993.

Menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, fahaman dan amalan GISBH mempuyai ciri-ciri menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah daripada aspek akidah dan syariat.

"Apa-apa variasi, bentuk atau cabang mana-mana fahaman, ajaran, pegangan atau amalan baru yang mempunyai persamaan dengan semua atau sebahagian daripada elemen-elemen fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ini adalah disifatkan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah, " menurut hantaran tersebut.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memberi perkenan kepada fatwa terkini berkenaan fahaman GISBH dan rangkaiannya.

Keputusan hasil mesyuarat khas pada 30 September lalu disembah maklum oleh Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE