
KUALA LUMPUR, 3 Februari – Sultan Selangor menzahirkan rasa amat dukacita dan kecewa terhadap insiden membakar suar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu yang didakwa membabitkan penyokong pasukan bola sepak Selangor FC pada 1 Februari lepas.
- Sultan Selangor kecewa dengan insiden membakar suar yang dikaitkan penyokong Selangor FC.
- Baginda mahu PDRM siasat punca dan hukuman maksimum dikenakan jika terbukti bersalah.
- Seruan agar penyokong kawal tingkah laku, jaga disiplin dan larangan stadium bagi pesalah.
Istana Alam Shah dalam kenyataan memaklumkan baginda, yang juga Penaung Selangor FC, tidak berkenan dengan kegiatan tidak bermoral termasuk budaya samseng dan gangsterisme yang dilihat kian menular dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya mereka yang memakai jersi pasukan The Red Giants.
“Baginda mahu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat serta mengenal pasti dalang di sebalik insiden berkenaan dan sekiranya didapati bersalah, individu terbabit hendaklah dikenakan hukuman maksimum dan setimpal mengikut undang-undang.
“la sebagai pengajaran kepada para penyokong Selangor FC yang lain supaya insiden seumpamanya tidak berulang,” menurut kenyataan itu.
Baginda juga menyeru semua penyokong Selangor FC supaya sentiasa mengawal tingkah laku, menjaga disiplin serta memelihara nama baik pasukan dan negeri Selangor.
Selain itu baginda turut mencadangkan penyokong Selangor FC yang disabitkan kesalahan menimbulkan kekacauan dilarang daripada memasuki stadium bagi menghadiri mana-mana perlawanan melibatkan pasukan tersebut.