SHAH ALAM, 1 Disember - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 (SIBF 2023 )yang berlangsung hari ini hingga 10 Disember, di Pusat Konvensyen Shah Alam.
Mengiringi baginda; Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Ketibaan baginda berdua disambut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad.
Pada perasmian berkenaan Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan plak penghargaan Selangor International Fellowship Programme kepada wakil lapan negara iaitu Malaysia, Australia, Indonesia, Turkiye, South Korea, Nepal, Filipina dan Azerbaijan.
Baginda dan Tengku Permaisuri turut berkenan melawat reruai pempamer yang menyertai pesta buku tersebut.
Dianjurkan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Acara melibatkan 225 pempamer tempatan dan antarabangsa seperti Indonesia, Azerbaijan, Australia dan Turkiye.
Pelbagai aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah, jualan buku dan diskaun menarik menanti pengunjung.
Terdahulu, Amirudin dalam sembah ucapannya berkata SIBF 2023 menyediakan 354 lot gerai untuk 255 peserta pameran, terdiri daripada penerbit, penulis, ilustrator yang bukan sahaja dari Malaysia, malah dari luar negara yang mengambil bahagian antaranya Indonesia, China dan Arab Saudi.
“SIBF juga menawarkan ruang untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempamerkan produk mereka selain buku semata-mata, untuk mewujudkan ruang yang kondusif untuk pengunjung,” katanya.