Sultan Selangor berkenan berbuka puasa bersama rakyat, sampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 529 asnaf

Sultan Selangor menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima pada Majlis Berbuka Puasa bersama Rakyat dan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri/RTM

KUALA SELANGOR, 25 Februari – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berbuka puasa bersama rakyat serta menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 529 asnaf di Masjid Jamek Sultan Ibrahim di sini pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sultan Selangor berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 529 asnaf di Masjid Jamek Sultan Ibrahim.
  • Setiap asnaf menerima bantuan RM500, menjadikan jumlah keseluruhan RM264,500.
  • Penerima terdiri daripada 149 fakir, 239 miskin dan 141 mualaf.
  • Turut hadir anggota kepimpinan agama dan kerajaan negeri termasuk Raja Muda serta Menteri Besar.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Pada majlis berkenaan, setiap asnaf menerima sumbangan RM500 menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM264,500.

Kesemua penerima terdiri daripada 149 fakir, 239 miskin dan 141 mualaf.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah, Mufti Negeri Selangor, Datuk Seri Dr Anhar Opir serta Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.