fb fb fb fb fb

Sultan Perak ke Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Perak

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak/Foto Bernama

IPOH, 18 November- Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzudin Shah berkenan berangkat ke Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Perak sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-67 yang berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
 
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di-Hilir, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah.

Istiadat penganugerahan dimulakan dengan Ketua Pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM, Kolonel Dr Mohd Arshil Moideen menerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) bagi tahun 2020, mendahului 17 senarai penerima yang lain.

Menerima darjah sama, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Nor Sihimah Wahid dan Pengerusi Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Dr Rofina Yasmin Othman. 

Selain itu, Atlet Muay Thai Mohamad Rifdean Masdor dan Atlet Terjun Muhd Shafiq Puteh dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

Bagi Mohamad Rifdean, "saya gebira kerana bermain untuk Perak dan berjaya bawa nama Perak ke peringkat antarabangsa."

Manakala Muhd Syafiq yang ditemui berkata, "ini merupakan kali pertama saya menerima pingat PJK daripada SUltan Perak dan saya juga ingin berterima kasih kepada majlis sukan negeri kerana memberikan peluang ini kepada saya."

Pada majlis pengurniaan itu juga, Timbalan Pengarah Seksyen Dasar dan Penyelidikan RTM Reza Shahriman Othman antara penerima bagi Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM).

"Kita berkhidmat untuk negara dan saya rasa apa yang kita buat akan memberi manfaat kepada negara. Walaupun saya tak pernah berkhidmat di Perak, namun saya sekarang ni menjaga dasar dan menjaga penyelidikan untuk RTM," katanya.

Sementara itu, Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) dikurniakan kepada 31 penerima, Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM); 20 penerima, Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP); 42 penerima, Pingat Pekerti Terpilih (PPT);57 penerima, Pingat Jasa Kebaktian (PJK); 31 penerima, Pingat Lama Perkhidmatan (PLP); 11 penerima.

Sesi kedua istiadat penganugerahan itu, melibatkan seramai 209 penerima manakala sesi pertama yang berlangsung 5 November lalu, melibatkan 24 penerima.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI