IPOH, 30 April- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2024 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru, Ipoh.
Keberangkatan baginda disambut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Bertemakan ‘Hutan dan Inovasi’, sambutan tahun ini memberi penekanan terhadap kepentingan inovasi dalam sektor perhutanan sebagai penyelesaian baharu untuk kelestarian alam.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani dalam sembah ucapannya berkata, Perak kekal sebagai negeri yang mempunyai Hutan Simpan Kekal (HSK) tertinggi di semenanjung sebanyak 47 peratus.
Sepanjang tahun lalu, kerajaan negeri juga telah mewartakan 4,655.55 hektar Hutan Simpan Kekal baharu melibatkan 4,520.75 hektar hutan darat dan 134.80 hektar hutan paya laut.
Pada sambutan itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyempurnakan acara penanaman pokok spesies Antiaris toxicaria atau pokok Ipoh.