IPOH, 10 April- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Aidilfitri Peringkat Negeri Perak di Stadium Indera Mulia di Ipoh.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Keberangkatan tiba Sultan Nazrin pada pukul 3.10 petang itu disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, barisan exco kerajaan negeri dan beberapa orang kenamaan.
Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Pada majlis yang dihadiri lebih 20,000 rakyat berbilang kaum itu pelbagai juadah disediakan antaranya seperti ketupat, lemang, rendang, kambing bakar dan minuman.
Pada majlis berkenaan, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada penghuni rumah kebajikan anak yatim iaitu Pusat Jagaan Darus Salam, Ipoh, Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman, Pusat Jagaan Yayasan Amanah An-Nur Maisarah dan Pusat Jagaan Persatuan Anak-Anak Yatim Soleha, Tanjung Tualang.