
KUANTAN, 17 Februari -Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan dukacita dan kekecewaan mendalam terhadap pembunuhan tragis yang berlaku di kawasan perumahan Cerating Damai di sini hari ini.
- Sultan Pahang menyuarakan dukacita dan kekecewaan mendalam terhadap pembunuhan tragis di Kuantan.
- Baginda menasihatkan rakyat supaya berjaga-jaga terhadap tingkah laku mencurigakan di sekeliling mereka.
- Baginda menyeru orang ramai peka terhadap perubahan tingkah laku dan tidak memandang ringan tanda amaran.
- Baginda mengajak rakyat mendoakan mangsa; kejadian melibatkan dua kanak-kanak, ibu bapa serta seorang wanita 55 tahun.
Baginda bertitah kejadian seumpama itu tidak seharusnya berlaku dan amat mengejutkan khususnya apabila ia melibatkan sebuah keluarga.
“Ini tidak harus berlaku dan sebagai Raja Pemerintah, saya nasihatkan rakyat supaya awasilah mereka yang cuba mempunyai perangai yang sebegini, tidak harus dibiarkan,”titah baginda yang dimuat naik menerusi hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang.
Baginda turut menyeru rakyat supaya sentiasa peka terhadap perubahan tingkah laku individu di sekeliling mereka serta tidak memandang ringan sebarang tanda yang boleh membawa kepada kejadian tidak diingini.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama menghadiahkan bacaan al-Fatihah kepada mangsa yang terkorban dalam insiden berkenaan.
Kejadian kira-kira pukul 7 pagi tadi itu melibatkan dua kanak-kanak perempuan berusia 3 dan 4 tahun dan ibu bapa mereka, masing-masing berusia 28 dan 32 tahun, yang ditemukan di dalam bilik tidur.
Turut terlibat wanita berusia 55 tahun yang dijumpai maut di ruang dapur.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman dilaporkan berkata lelaki berusia 32 tahun itu dipercayai mencederakan isteri, ibu dan dua anaknya menggunakan senjata tajam disyaki pisau sebelum bertindak mencederakan diri sendiri dan turut maut.