KUALA KANGSAR, 5 November- Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah Muizzuddin Shah menzahirkan rasa pilu terhadap penderitaan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Israel.
Baginda menzahirkan kebimbangan bahawa dunia yang kini sedang "sakit" berkemungkinan bertambah tenat jika krisis persaingan dan pergolakan dibiarkan terus berlaku, dengan keganasan dan malapetaka kemanusiaan gagal dibendung.
"Amat memilukan hati melihat penderitaan yang ditanggung oleh rakyat bumi Palestin akibat perbuatan zalim rejim zionis Israel yang kita tidak terfikir, tergamak dilakukan oleh makhluk bergelar manusia," titah baginda.
Penderitaan yang dialami oleh insan-insan tidak berdosa di bumi Palestin juga mengembalikan ingatan kepada amaran yang diungkapkan oleh tentera Athen kepada penduduk Pulau Melos semasa Perang Peloponnesia antara Athens dengan Sparta pada tahun 416 sebelum Masihi.
"Penduduk Pulau Melos yang memilih sifat berkecuali dan tidak mahu menyerah diri telah dikepung, semua penduduk lelaki dibunuh, dan semua wanita dan kanak-kanak diperhamba," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia Dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Sultan Perak di Istana Iskandariah di sini.
Baginda turut bertitah bahawa sikap mementingkan diri dan merasakan diri sendiri sahaja yang betul akan membawa kepada kemusnahan.
"Bermuafakat lebih baik daripada bersengketa, bermesyuarah lebih baik daripada bertelagah dan bermaaf-maafan lebih baik daripada berdendam.
"Insaflah, kedamaian lebih baik daripada peperangan. Insaflah, akar kemanusiaan hanya tumbuh dalam suasana persahabatan dan kerjasama. Insaflah, kedamaian akan tinggal dalam impian jika tidak ada rasa muhibah dalam hati insan," titah baginda lagi.