fb fb fb fb fb

Sultan Nazrin berkenan kurnia darjah kebesaran , pingat kepada 56 penerima

Foto BERNAMA

KUALA KANGSAR, 9 November-Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak kepada 56 penerima bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-68 baginda di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin.

Penerima pada hari ini sebahagian daripada 213 penerima yang dikurniakan darjah kebesaran dan pingat bersempena hari keputeraan baginda yang disambut pada 1 November.

Mendahului senarai penerima hari ini ialah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad yang juga antara tiga penerima Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Sementara itu, Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Pengerusi Eksekutif Yee Lee Corporation Datuk Lim Kok Cheong @ Lim A Heng turut dikurniakan darjah SPMP.

Sultan Nazrin juga mengurniakan Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) kepada Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron yang membawa gelaran Datuk.

Baginda turut mengurniakan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang turut membawa gelaran Datuk kepada lapan penerima antaranya Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak Harith Fadzilah Abdul Halim, Ketua Perkhidmatan Otorinolaringologi Hospital Raja Permaisuri Bainun Dr D. Philip Rajan serta Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Salasiah Abdul Wahab.

Sultan Nazrin turut mengurniakan Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan kepada enam penerima iaitu Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Terdahulu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan berangkat ke Istiadat Kawalan Kehormatan yang dimulakan dengan Hormat Diraja sebelum Lagu Kebesaran Perak Darul Ridzuan didendangkan, disusuli pemeriksaan kawalan keselamatan oleh Sultan Nazrin.
Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak kali ini diadakan dua sesi iaitu hari ini manakala sesi kedua dijadualkan 16 November ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD