
KUALA TERENGGANU, 21 Mac – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu.
- Lebih 2,500 jemaah menyertai solat sunat Aidilfitri.
- Solat dipimpin Mufti Terengganu Datuk Dr Muhammad Sabri Harun dengan khutbah bertajuk 'Nilai dan Erti Aidilfitri'.
- Acara di Pahang dan Sabah turut menyaksikan ribuan jemaah, kehadiran kerabat diraja dan khutbah menekankan nilai Ramadan, ukhuwah serta perpaduan.
Lebih 2,500 jemaah bersama sama menyertai solat sunat Aidilfitri di masjid berkenaan.
Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.
Keberangkatan tiba Baginda pada pukul 8.15 pagi disambut Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham.
Solat sunat Aidilfitri itu dipimpin Mufti Terengganu Datuk Dr Muhammad Sabri Harun yang turut menyampaikan khutbah ‘Nilai dan Erti Aidilfitri’.
Selesai menunaikan solat Baginda meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk bersalaman dengan jemaah sebelum berangkat ke makam Diraja.
Sementara itu, di Pahang, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.
Keberangkatan Baginda berdua pada pukul 8.30 pagi diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut mengiringi ialah Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah serta Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.
Menyambut ketibaan keluarga diraja, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan jemaah exco negeri.
Baginda berdua menunaikan solat bersama kira-kira 5,000 orang jemaah dengan dipimpin oleh Imam 1 Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Datuk Ahmad Faizul Ghazali al-Hafiz, diikuti khutbah khas disampaikan oleh Mufti Pahang, Datuk Professor Dr. Asmadi Mohamed Naim.
Selesai menunaikan solat sunat, Baginda dan anakanda-anakanda berkenan menyantuni rakyat.
Manakala, di Kota Kinabalu, Sabah, ribuan umat Islam membanjiri Masjid Negeri Sabah pagi tadi bagi menunaikan Solat Sunat Aidilfitri dalam suasana penuh kesyukuran dan kegembiraan.
Seawal 7.00 pagi, jemaah mula memenuhi ruang solat, menghidupkan pagi Syawal dengan laungan takbir dan ibadah.
Yang Dipertua Negeri. Tun Musa Aman dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, antara orang kenamaan yang menunaikan solat sunat aidilfitri di Masjid Negeri.
Solat sunat disusuli khutbah yang disampaikan Mufti Negeri, Datuk Bungsu Aziz Jaafar.
Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, antara orang kenamaan yang menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri.
Solat sunat disusuli khutbah yang disampaikan Mufti Negeri, Datuk Bungsu Aziz Jaafar.
Pengisian khutbah antara lain menekankan kepentingan mengekalkan nilai murni sepanjang Ramadan, termasuk memperkukuh ukhuwah dan semangat perpaduan dalam masyarakat.