fb fb fb fb fb

Sultan Mizan rasmi sambutan 100 tahun SMK Sultan Sulaiman

Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman telah berjaya melahirkan ramai tokoh, pemimpin dan profesional yang berkhidmat serta berjasa dalam pelbagai bidang/BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan merasmikan Sambutan 100 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS) di sini.

Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta anakanda baginda.

Pada majlis itu, baginda berkenan menanam Pokok Diraja bersempena Kempen Adopsi Pokok selain merasmikan Galeri Junjung Setanggi SMKSS.

Bertemakan “Seabad Gemilang”, sambutan tersebut menghimpunkan warga sekolah, alumni dan masyarakat setempat bagi mengenang perjalanan seabad institusi pendidikan berkenaan.

Ditubuhkan pada tahun 1921, SMKSS telah berjaya melahirkan ramai tokoh, pemimpin dan profesional yang berkhidmat serta berjasa dalam pelbagai bidang.

Sambutan bersejarah itu juga menjadi platform mengeratkan silaturahim, menyuntik semangat baharu kepada pelajar dan guru, selain membuka ruang kepada alumni untuk kembali menyumbang kepakaran dan sokongan demi membina legasi pendidikan lebih cemerlang pada masa depan.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI