fb fb fb fb fb

Sultan Kelantan harap projek ECRL disambung ke Rantau Panjang

Kerja-kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

KOTA BHARU, 4 Mac- Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berharap projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dapat disambung sehingga ke Rantau Panjang.
 
Titah baginda, ia bertujuan bagi memacu pertumbuhan ekonomi antara kawasan sempadan selain mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand.

Sultan Muhammad V bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu.
 
Titah baginda dibacakan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
 
Pada masa sama, baginda turut bersimpati dengan rakyat Kelantan yang dilanda bencana banjir baru-baru ini dan berharap satu penyelesaian yang komprehensif dapat dibuat dengan kadar segera.
 
Ini termasuk kemajuan pelaksanaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan dan Sungai Golok fasa 1 yang telah 92 peratus siap.
 
Dalam perkembangan sama, baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan peruntukan bagi meneruskan pelaksanaan PLSB Sungai Kelantan fasa 2 dan PLSB Sungai Golok fasa 3.

Kerajaan Pusat turut diseru agar dapat memberi perhatian terhadap pelaksanaan beberapa projek lain merangkumi jaringan jalan raya utama di Kelantan seperti Central Spine Road dan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai serta pembinaan Jambatan Pengkalan Kubor-Takbai, Jambatan Palekbang-Kota Bharu dan Lebuh Raya Pantai Timur fasa 3 (LPT3).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE