ALOR SETAR, 23 April- Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah serta Keluarga Diraja Baginda menzahirkan rasa sedih dan simpati atas tragedi nahas helikopter yang mengorbankan 10 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, hari ini.
Ucapan takziah itu dizahirkan menerusi laman Facebook rasmi Kedah Royal Family.
"Salam Takziah buat seluruh ahli keluarga Pegawai dan Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas helikopter ketika raptai Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan akan berlangsung minggu hadapan," menurut hantaran itu.
Pada masa sama baginda berharap waris dan keluarga mangsa yang terkorban tabah menghadapi dugaan yang berlaku.
Dalam kejadian pukul 9.30 pagi tadi, dua helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) TLDM dan helikopter FENNEC TLDM yang sedang menjalani raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut dilaporkan bertembung dan terhempas.
10 pegawai disahkan terkorban dalam nahas itu.
Tiga daripadanya berasal dari Kedah iaitu Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol bin Tamadun dari Kampung Tanah Hitam, Sik; Bintara Muda TNL Noor Rahiza binti Anuar (Penumpang) dari Pantai Murni, Yan; dan Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi binti Mohd Saedy (Penumpang) dari Jitra.