fb fb fb fb fb

Sultan Kedah titah semak semula struktur Mahkamah Syariah

FOTO HIASAN

ALOR SETAR, 4 Mac- Penubuhan Mahkamah Syariah hendaklah diletakkan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah sebagaimana Mahkamah Sivil disebut dengan jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan.
 
Ia sebagai langkah bagi memperkasakan institusi tersebut.
 
Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah, selain pembangunan dan fiskal, baginda mahu memberi penekanan kepada aspek kehakiman negeri iaitu Mahkamah Syariah.
 
Titah baginda, Mahkamah Syariah merupakan obor keadilan agama Islam yang merupakan agama rasmi negeri Kedah.
 
Justeru, baginda mahu Mahkamah Syariah menjadi sebuah institusi yang penting sesuai dengan kedudukan Islam di negeri tersebut.
 
"Kerajaan juga perlu menyemak semula struktur Mahkamah Syariah seperti sistem hierarki Mahkamah Syariah untuk memberi lebih ruang keadilan kepada pihak terlibat serta menambahbaik kedudukan jawatan Hakim Mahkamah Syariah agar setanding dengan sistem digunapakai di Mahkamah Sivil. Beta berharap usaha ini dapat disegerakan demi memartabatkan ketinggian institusi Mahkamah Syariah di Negeri Kedah,"katanya.
 
Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah demikian pada Istiadat Perasmian Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar, pagi tadi.
 
Turut berangkat, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff; dan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.
 
Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
 
Titah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, peranan hakiki ahli-ahli Yang Berhormat di dalam Dewan Undangan Negeri adalah sebagai penggubal undang-undang.
 
Kuasa dewan dalam menggubal undang-undang adalah meliputi perkara yang termaktub dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan.
 
Sebagai tambahan menurut Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan, jelas baginda, Dewan Undangan Negeri Kedah juga berkuasa untuk menggubal undang-undang bagi segala perkara yang tidak dinyatakan secara satu persatu bawah mana-mana senarai dalam Jadual Kesembilan.
 
Oleh yang demikian, asas tersebut perlu difahami oleh ahli-ahli dewan agar tidak menyimpang daripada matlamat asal.
 
Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kedah berlangsung selama empat hari bermula hari ini.
 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE