fb fb fb fb fb

Sultan Kedah titah contohi ketabahan Rasulullah SAW sebagai inspirasi kehidupan

Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin perkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW yang berlangsung di Dewan Seri Negeri

ALOR SETAR, 16 September – Sultan Kedah, Al Aminul Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, menyeru umat Islam untuk menjadikan ketabahan dan kecekalan Rasulullah SAW dalam menghadapi pelbagai cabaran sebagai inspirasi dalam kehidupan seharian, terutama ketika berhadapan dugaan dan cabaran.

Baginda bertitah, kemuncak kepada usaha dakwah Rasulullah SAW adalah dengan terbinanya sebuah Kerajaan Islam menerusi penghijrahan Baginda dan para sahabat ke kota Madinah.

"Sehingga satu kesatuan masyarakat Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik dan agama telah berjaya dibentuk menerusi formula sosial, politik, dan ekonomi seperti yang terkandung dalam Piagam Madinah," titah baginda, yang dibacakan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah 2024.

Sultan Kedah menekankan bahawa perhimpunan Maulidur Rasul merupakan satu cara atau usaha yang dapat memperkukuh hubungan persaudaraan (silaturahim) dan kasih sayang (mahabbah) antara umat Islam.

Pada majlis itu, Raja Muda Kedah berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul peringkat negeri kepada Imam Masjid An-Nur Pokok Sena, Ismail Jaafar, atas sumbangannya kepada komuniti.

Selain itu, Legenda bola sepak Kedah, Allahyarham Mohd Azraai Khor Abdullah, dianugerahkan Anugerah Khas, yang disampaikan kepada isteri beliau, Rohani Ibrahim.

GRACE AISYAH KEDAYAN