fb fb fb fb fb

Sultan kedah berangkat ke Majlis Jamuan Negeri sempena keputeraan baginda ke-82

FOTO KEDAH ROYAL FAMILY

ALOR SETAR, 2 Julai- Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff berkenan berangkat hadir ke Majlis Jamuan Negeri Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Ke-82 di Istana Anak Bukit, malam tadi.

Baginda berdua tiba di Istana Anak Bukit kira-kira pukul 8.20 malam.

Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamed Ariff; Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Tunku Che Puan Nur Julie Ariff.

Berangkat sama, Tunku Bendahara Kedah, Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Tunku Temenggong Kedah, Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali; mantan-mantan Menteri Besar Kedah serta dif-dif kenamaan yang lain.

Majlis disajikan persembahan oleh Badan Kesenian Negeri Kedah (BKNK) dan santapan.

Usai santapan, baginda turut perkenan beramah mesra bersama tetamu yang hadir sebelum berangkat pulang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE