KUALA LUMPUR, 17 Ogos- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah kedaulatan dan maruah negara akan tergadai sekiranya rasuah dan salah guna kuasa diamalkan dalam kalangan pegawai tentera.
Sultan Ibrahim selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertitah, Seri Paduka Baginda tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai ATM yang mengamalkan rasuah, salah guna kuasa dan gagal melaksanakan amanah sebagai pegawai tentera.
"Jangan sekali-kali ada pegawai tentera yang terlibat dalam amalan rasuah terutamanya melibatkan urusan pembelian peralatan dan kontrak kerajaan.
"Kedaulatan dan maruah negara akan tergadai, jika amalan rasuah dan salah guna kuasa diamalkan di kalangan pegawai tentera," titah Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim bertitah sewaktu Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM 2024 di Kem Perdana Sungai Besi di ibu negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima ATM Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Pemangku Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan turut menghadiri istiadat itu.