fb fb fb fb fb

SUKMA Selangor 2026: Naik taraf infrastruktur siap ikut jadual

Exco Belia dan Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi /Foto RTM

SHAH ALAM, 30 September - Persiapan menjelang Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 berjalan lancar dengan kerja-kerja naik taraf infrastruktur giat dilaksanakan di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan daerah.

Exco Belia dan Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, tumpuan utama kini diberikan kepada dua venue penting iaitu pade dan lapang sasar menembak yang dijangka siap sepenuhnya pada Mac atau April tahun depan.

“Naik taraf setakat ini berjalan dengan baik. Kita di peringkat PBT dan daerah memang sedang menjalankan kerja-kerja tersebut. Cuma seperti saya sebut sebelum ini, kita fokus untuk siapkan segera dua venue utama iaitu Pade dan lapang sasar menembak yang kita sasarkan siap pada bulan Mac atau April tahun depan.

Alhamdulillah, dari segi infra, saya boleh katakan kita 'on time' dan on track,” katanya demikian selepas merasmikan Konvensyen Belia Selangor 2025 di sini hari ini.

Temasya SUKMA Selangor 2026 akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, melibatkan lebih 400 acara daripada lebih 30 jenis sukan yang akan dipertandingkan di seluruh negeri.

Sebanyak 53 venue di sembilan daerah telah dikenal pasti sebagai lokasi pertandingan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD