fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2025: Sasaran pingat ditentukan MSN, PSK, MOM

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 5 Februari- Penetapan sasaran pingat bagi kontinjen negara dalam Temasya Sukan SEA 2025 akan ditentukan secara bersama di antara Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata sasaran akan dibuat berdasarkan jumlah keseluruhan dan bukannya warna pingat.

"Penetapan sasaran pingat akan ditentukan selepas ini secara bersama di antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara, Persatuan Sukan Kebangsaan dan Majlis Olimpik Malaysia memandangkan pendaftaran akhir bagi atlet menyertai temasya tersebut masih terbuka sehingga bulan September ini.

"Penetapan sasaran pingat emas memberikan tekanan berlebihan kepada atlet untuk mempamerkan prestasi terbaik di temasya sukan antarabangsa nanti", katanya dalam sesi Dewan Rakyat.

Pernyataan tersebut bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib mengenai sasaran Malaysia dan persediaan untuk temasya dwitahunan itu yang diadakan di Thailand, susulan rombakan acara oleh tuan rumah.

Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan turut memberi tumpuan kepada aspek psikologi kontinjen negara bagi memastikan, atlet terus mempamerkan prestasi terbaik dalam acara yang disertai. Justeru, pelbagai program diberi termasuklah pengendalian media sosial atlet.

"Kita telah menyediakan juga psychologist di Institut Sukan Negara untuk membantu atlet.

"Salah satu latihan yang kita beri kepada mereka adalah tentang bagaimana atlet kita harus mengendalikan akaun media sosial sebelum pertandingan kerana ramai yang terkesan dengan komen daripada peminat. Jadi latihan itu sedang berlaku", katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa dalam sesi Dewan Rakyat.

 

 

ROSLINA BINTI DIN