fb fb fb fb fb

Sukan Asia Hangzhou platform terbaik atlet Malaysia

AYER KEROH, 24 September- Sukan Asia Hangzhou 2022 merupakan platform terbaik buat atlet sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata, prestasi kontinjen negara pada saingan Sukan Asia nanti menjadi kayu ukur sebagai persediaan menjelang sukan olimpik akan datang.

"Kejayaan di Sukan Asia sebenarnya akan bagi indikator yang lebih jelas untuk kita beraksi di Sukan Olimpik. Jadi kita harap persembahan dan juga pencapaian terbaik kepada atlet-atlet kita mereka ini kebanyakannya adalah kontinjen sama akan ke Sukan Olimpik.

"Jadi ini adalah pendedahan yang diperlukan oleh mereka dan melihat atlet kita bersaing dengan negara yang merangkul pingat utama seperti China dan sebagainya. Ini merupakan tempat yang boleh kita jadikan sebagai kayu pengukur dan memperbaiki kualiti menjelang Sukan Olimpik 2024," katanya kepada pemberita pada program Pemimpin Bersama Masyarakat Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah di sini.

Adam berkata beliau akan ke Hangzhou bagi memberi semangat kepada kontinjen negara dijangka pada 2 Oktober nanti.

Sukan Asia Hangzhou sedang berlangsung menyaksikan kontinjen negara menghantar 288 atlet menyertai 22 daripada 40 sukan dengan sasaran 27 pingat.

(Adam Adli Abd Halim)

Media Baharu