BANGI, 12 November- Penggunaan kad pengenalan (MyKad) atau aplikasi MySejahtera untuk menyalurkan subsidi bersasar petrol RON95 berpotensi memudahkan proses bantuan secara lebih efisien.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata langkah itu dilihat praktikal susulan rakyat sudah biasa menggunakan kedua-dua platform tersebut.
"Saya tidak menolak kemungkinan penggunaan MyKad kerana teknologi dalam MyKad itu masih kurang digunakan.
Mungkin selain MyKad, kita boleh gunakan MySejahtera kerana rakyat sudah biasa semasa zaman COVID-19 yang lalu. Penggunaannya sangat cekap dan itu adalah salah satu instrumen yang boleh digunakan untuk menyalurkan subsidi lebih bersasar," kata Dr. Mohd Afzanizam, hari ini.
Beliau berkata demikian pada Program Bicara Persada UKM 'Subsidi Bersasar' di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tambahnya, penggunaan kedua-dua platform itu dapat meningkatkan ketelusan dan kemudahan dalam menyalurkan subsidi yang lebih bersasar.