LANGKAWI, 21 Disember-Syarikat pengendali perkhidmatan feri di pulau berkenaan, Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd menyambut baik inisiatif kerajaan kepada pengusaha feri dan bot penumpang serta perkhidmatan Roll On Roll Off (roro) atas pemberian subsidi diesel bermula 1 Januari depan.
Pengurus besar syarikat itu, Kapten Dr Baharin Baharom berkata pengumuman yang dibuat Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, memberi kelegaan buat pengusaha feri.
Bagaimanapun terdapat isu yang perlu dibincangkan bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam tempoh terdekat.
"Ada isu-isu yang perlu diangkat untuk pengetahuan Menteri di mana Insya-Allah, saya akan buat permohonan untuk berbincang dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia. Isu ini kita boleh berbincang tanpa ada prasangka", katanya demikian dalam satu sidang media di sini.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Jumaat mengumumkan pemberian subsidi diesel kepada pengusaha feri dan bot penumpang, termasuk perkhidmatan feri RORO di pulau utama negara mulai 1 Januari ini.
Dalam laporan itu, Loke berkata, subsidi diesel itu akan dinikmati pengusaha di laluan strategik perkhidmatan seperti Wilayah Persekutuan Labuan, Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Ketam, Pulau Tioman, Pulau Redang dan Pulau Pinang.
Bagi pengusaha yang ditawarkan subsidi itu, tuntutan pertama boleh dikemukakan pada atau sebelum 20 Februari 2025.
Dalam pada itu, Dr Bahrin berkata Ferry Line Ventures Sdn Bhd juga telah mendapat kelulusan Jabatan Laut untuk memulakan operasi di waktu malam mengikut kapasiti permintaan dari orang ramai.
Ia sekali gus menyokong Tahun Melawat Kedah 2025 yang akan bermula beberapa hari sahaja lagi.