Subsidi bersasar lindungi rakyat daripada beban kos hidup

Gambar hiasan./foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 April –Langkah kerajaan melaksanakan subsidi bersasar dilihat sebagai pendekatan wajar bagi melindungi kuasa beli rakyat di tengah-tengah cabaran kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenaikan harga menjejaskan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, mengurangkan keupayaan mereka memenuhi keperluan harian.
  • Subsidi bersasar diperlukan untuk mengurangkan impak kenaikan harga terhadap kuasa beli rakyat.
  • Pelaksanaan subsidi perlu imbangan dasar teliti kerana berisiko menekan kedudukan fiskal dan tidak mampan untuk jangka panjang.
  • Kerajaan kekalkan RON95 bersubsidi RM1.99 seliter dan melaraskan bahan api tidak bersubsidi secara berperingkat bagi menjaga kesejahteraan tanpa menjejaskan kestabilan.

Ahli Ekonomi Kanan Pusat Penyelidikan dan Latihan Bank-bank Pusat Asia Tenggara (The SEACEN Centre), Dr. Nur Ain Shahrier berkata, meskipun kadar inflasi diunjur kekal sederhana, sebarang kenaikan harga tetap memberi kesan langsung kepada masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Kenaikan harga barang akan menjejaskan keupayaan rakyat untuk berbelanja dan memenuhi keperluan harian. Oleh itu, subsidi bersasar amat diperlukan dalam keadaan semasa bagi mengurangkan impak tersebut terhadap kuasa beli mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi perbincangan mengenai ekonomi Malaysia dalam acara tahunan anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia (PEM) dengan sokongan Bank Negara Malaysia (BNM), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Nur Ain mengingatkan bahawa pelaksanaan subsidi secara berterusan memerlukan imbangan dasar yang teliti.

Ini kerana ia berisiko memberi tekanan kepada kedudukan fiskal negara, terutama ketika berdepan risiko luaran dan ketidaktentuan global yang berlarutan.

Menurut beliau, pendekatan tersebut sesuai untuk tempoh jangka pendek hingga sederhana, namun tidak mampan jika diteruskan bagi jangka masa panjang.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan komitmen kerajaan untuk terus melindungi rakyat dengan mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada paras RM1.99 seliter, selain melaksanakan pelarasan harga bahan api tidak bersubsidi secara berperingkat.

Langkah strategik itu bertujuan memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara tanpa menjejaskan kestabilan serta daya tahan ekonomi negara untuk masa hadapan.