fb fb fb fb fb

Subsidi bersasar dapat jimat RM4 bilion setahun - Penganalisis

Gambar fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Mei - Pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api merupakan langkah tepat, positif dan dialu-alukan kata Pakar Ekonomi, Prof Emeritus Dr. Barjoyai Bardai.

Menurut beliau, ia dijangka memberi penjimatan kira-kira RM4 bilion setahun, sekali gus membantu meningkatkan kesejahteraan isi rumah rakyat Malaysia.

"Ini merupakan satu usaha untuk cuba menyelamatkan subsidi yang hari ini terbazir kerana bahan api ini dinikmati oleh kumpulan bukan warganegara dan kumpulan berpendapatan tinggi, lebih penting lagi juga kerana ia melibatkan banyak penyelewengan diesel yang di seludup ke luar negara dan digunakan untuk industri yang tidak diluluskan," katanya ketika dihubungi RTM.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, penjimatan daripada pelaksanaan subsidi pukal kepada subsidi bersasar perlu dilaksana secara berhemah dan praktikal.

"Kita faham bahawa jumlah subsidi negara adalah hampir RM80 billion pada tahun lepas dan daripada RM80 bilion itu lebih pada separuh adalah subsidi bahan api, sekiranya ia dapat dijimatkan jumlah besar wang yang banyak ini dapat digunakan untuk membangunkan negara, membina infrastruktur yang lebih baik, memberikan kenaikan gaji kepada kakitangan awam, kepada pesara kerajaan, tentera dan pelbagai lagi," katanya.

Pada Selasa, Anwar mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju menyelaraskan pemberian subsidi ke atas diesel yang berupaya menjimatkan wang kerajaan RM4 bilion setahun.

Sebagai permulaan, langkah itu dilaksanakan di Semenanjung dan tidak membabitkan pengguna di Sabah dan Sarawak.

ARTIKEL BERKAITAN:

 

GRACE AISYAH KEDAYAN