KUALA LUMPUR, 27 Jun - Subsidi beras import kepada Sabah, Sarawak dan Labuan dijangka mencecah hampir RM500 juta tahun ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Armizan berkata, bagi tempoh Oktober hingga Disember tahun lalu kerajaan telah memperuntukkan RM92.84 juta bagi perbelanjaan subsidi barangan keperluan asas itu.
Jelasnya, program berbentuk intervensi dan mitigasi melalui pemberian subsidi turut dilaksana dalam usaha memastikan penduduk di wilayah itu mendapat akses kepada barang keperluan asas dan bahan makanan tertentu.
"Sebagaimana kita maklum, keputusan kerajaan buat masa ini untuk mengecualikan penyasaran subsidi diesel di Sarawak, Sabah dan Labuan juga adalah menjadi salah satu faktor pertimbangan kerajaan, jurang harga di wilayah terlibat dan pemberian subsidi diesel di stesen-stesen minyak dan subsidi diesel nelayan yang melibatkan anggaran peruntukan RM3.6 setahun,"kata Armizan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui pada sesi pertanyaan lisan, di Dewan Rakyat.