KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Kerajaan dijangka akan dapat menjimatkan RM100 juta sebulan apabila subsidi ayam ditamatkan.
Menerusi soalan lazim yang dikeluarkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), penjimatan tersebut dapat meningkatkan keupayaan kerajaan untuk meningkatkan pelbagai inisiatif sosio ekonomi dan kebajikan rakyat termasuk bantuan tunai.
Sementara itu, KPKM turut memaklumkan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan sentiasa memantau harga ayam dari peringkat ladang sehingga ke 'outlet' peruncitan dari semasa ke semasa.
Sekiranya berlaku kenaikan yang mendadak akibat kekurangan bekalan, KPKM bersedia untuk mengimport ayam daripada sumber negara luar bagi mencukupkan bekalan dalam negara.
Berikut, soalan-soalan lazim beserta jawapan yang disediakan KPKM berhubung penamatan subsidi ayam.
1. Kenapa kerajaan tamatkan subsidi ayam?
JAWAPAN: Selaras dengan pendekatan subsidi bersasar yang akan dilaksanakan secara berfasa oleh kerajaan, maka kerajaan melihat polisi apungan harga dan pemberian subsidi ayam sudah boleh ditamatkan.
Ini kerana pada masa ini, bekalan ayam telah kembali stabil. Di kebanyakan tempat, harga ayam dijual lebih murah dari harga kawalan yang ditetapkan sebelum ini.
Sejak Februari 2022, kerajaan menanggung RM3.8 bilion untuk subsidi telur dan ayam. Rasional penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi di mana pada ketika ini, ianya turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Berdasarkan beberapa sesi libat urus bersama pemain industri seperti pengeluar ayam dan pasar raya besar, kerajaan mendapati harga ayam tidak akan naik dengan mendadak jika harganya diapungkan. Maka ini adalah masa yang paling sesuai untuk mengapungkan harga dan menamatkan subsidi ayam.
2. Adakah harga ayam akan naik lepas subsidi ditamatkan pada 1 November 2023?
JAWAPAN: Walaupun sebelum ini kerajaan menetapkan harga ayam tidak boleh dijual melebihi RM9.40 sekilo, tetapi peniaga di peringkat runcit telah mengenakan caj pemotongan antara RM1 ke RM2 sekilo. Ini menjadikan harga belian ayam menjadi RM10.40 sekilo.
Apabila harga ayam diapungkan bermula 1 November 2023, harga sekilo ayam pada peringkat runcit di kawasan luar bandar dijangka masih sekitar RM10.40 sekilo.
Bagaimanapun harga ayam di peringkat pasar raya besar dijangka tidak akan melebihi RM9.40 sekilo. Bagi membantu pengguna di kawasan luar bandar, kerajaan akan menganjurkan Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah di seluruh negara yang harga jualan ayam akan kekal kompetitif dan tidak akan membebankan rakyat.
3. Berapakah penjimatan kerajaan apabila subsidi ayam ditamatkan dan ke manakah wang itu akan dibelanjakan oleh pihak kerajaan?
JAWAPAN: Kerajaan dijangka akan dapat menjimatkan RM100 juta sebulan apabila subsidi ayam ditamatkan.
Penjimatan ini dapat meningkatkan keupayaan kerajaan untuk meningkatkan pelbagai inisiatif sosio ekonomi dan kebajikan rakyat termasuk bantuan tunai.
Selain itu penjimatan ini juga dapat digunakan untuk memperkasa industri penternakan ayam melalui bantuan insentif daripada segi pembiayaan dana pusingan kepada penternak bersaiz kecil dan sederhana serta skim mikro kredit sebagai bantuan modal pusingan kepada penternak komuniti serta program transformasi reban
ayam terbuka kepada reban ayam tertutup.
4. Kenapa harga telur tidak diapungkan bersekali dengan harga ayam?
JAWAPAN: Pada masa ini kerajaan melihat bekalan telur masih belum stabil sepenuhnya dan kos pengeluaran telur masih lagi tinggi.
Jika subsidi telur ditamatkan pada masa ini, harga telur dijangka akan naik 10 sen sebiji (RM3 sepapan). Justeru buat masa ini kerajaan memutuskan untuk meneruskan subsidi dan mengawal harga telur supaya tidak membebankan rakyat.
Bagaimanapun polisi ini akan dikaji semula apabila bekalan dan kos pengeluaran telur telah stabil sepenuhnya.
5. Apakah langkah kerajaan jika harga ayam naik dengan mendadak selepas harganya diapungkan?
JAWAPAN: Kerajaan melalui KPKM dan KPDN akan sentiasa memantau harga ayam dari peringkat ladang sehingga ke outlet peruncitan dari semasa ke semasa.
Sekiranya berlaku kenaikan yang mendadak akibat kekurangan bekalan, KPKM telah pun bersedia untuk mengimport ayam dari sumber negara luar bagi mencukupkan bekalan dalam negara.
Namun begitu jika berlaku kenaikan yang mendadak, kerajaan boleh mengenakan kawalan harga bersekali dengan subsidi ataupun tidak bersubsidi.
6. Bagaimanakah harga ayam di Sabah, Sarawak dan Labuan selepas pengapungan ini?
JAWAPAN: Harga ayam di Sabah, Sarawak dan Labuan berbeza berbanding harga di Semenanjung. Asas harga di wilayah ini adalah sedikit tinggi sepanjang kawalan harga dibuat berdasarkan faktor-faktor serta kos setempat.
Apabila diapungkan, harga di wilayah-wilayah ini dijangka akan mengalami sedikit penyelarasan di peringkat pasaran pengeluar, borong dan juga runcit.
Bagaimanapun, harganya dijangka akan kekal stabil jika bekalan bahan ini mencukupi dan tiada gangguan di peringkat pengeluaran.
7. Adakah terdapat perbezaan antara harga ayam standard dan ayam super selepas pengapungan harga ini?
JAWAPAN: Ayam standard merupakan ayam yang dijual beserta kepala, kaki, hati dan hempedal. Ayam Super pula merupakan ayam yang dijual selepas dibuang kesemua bahan terbabit.
Kedua-dua ayam ini berbeza daripada aspek berat dan harganya. Kebiasaannya harga ayam standard adalah RM1.00/KG lebih murah berbanding ayam super di peringkat runcit.
Perbezaan harga ini dijangka akan dikekalkan apabila ianya diapungkan memandangkan terdapat perbezaan dalam berat antara kedua-dua spesifikasi ayam ini.