fb fb fb fb fb

Suasana meriah warnai hari pertama persekolahan di SKJP

FOTO RTM

ALOR SETAR, 16 Februari- Suasana sesi pembukaan sekolah di Sekolah Kebangsaan Jalan Pegawai (SKJP) di sini hari ini meriah dengan kehadiran ibu bapa yang menemani anak-anak mereka.

Seawal pukul 7.00 pagi, sekolah tersebut diserikan dengan kehadiran beberapa orang murid yang mengenakan pakaian tradisional, menceriakan lagi suasana hari pertama persekolahan.

Kehadiran murid-murid baharu tahun satu turut mencuri perhatian dengan pelbagai reaksi dapat disaksikan termasuk ada yang menangis dan enggan memasuki kelas sebelum dipujuk oleh ibu bapa serta guru.

Selain itu, seorang murid tahun satu, Aldariya Dareesa yang tular di TikTok turut menarik perhatian apabila diberi peluang tampil dalam perhimpunan pertama sekolah.

Tahun ini, SKJP menerima seramai 143 murid tahun satu terdiri 80 murid lelaki dan 63 murid perempuan, manakala dua murid baharu tidak dapat hadir kerana cuti sakit.

Pada minggu pertama, murid-murid akan dibimbing oleh guru menerusi aktiviti pembelajaran santai yang menyeronokkan dengan penerapan nilai budaya bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

1602 SESI SEKOLAH KEDAH 2
FOTO RTM

SITI AISHAH MD ISA